Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Sambutan Tahun Baru Cina Mukah Perkukuh Perpaduan dan Muhibah

By 1 Mac 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun/Aziq Asyraf Bolhie (Mukah)

MUKAH, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Mukah 2026 berlangsung meriah di sini malam tadi dengan kehadiran ketua jabatan pelbagai agensi, pemimpin masyarakat termasuk pengerusi dan ahli 16 persatuan, serta penerima sumbangan warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Dato’ Hanifah Hajar Taib.

Berucap ketika merasmikan majlis, Hanifah berkata sambutan Tahun Baharu Cina bukan sahaja meraikan tradisi masyarakat Cina, malah memperkukuh perpaduan antara kaum di Sarawak.

Hanifah bersama tetamu kenamaan menyempurnakan upacara Yee Sang sebagai simbolik perasmian majlis.

Beliau menekankan keunikan masyarakat berbilang kaum perlu dipelihara melalui amalan saling menghormati, memahami dan menghargai kepelbagaian budaya.

“Perayaan seperti ini memberi ruang kepada kita untuk berkumpul, berinteraksi dan mengeratkan silaturahim tanpa mengira latar belakang. Inilah kekuatan masyarakat kita yang menjadi asas kepada kestabilan dan kemajuan negeri,” katanya.

Hanifah berkata kerajaan sentiasa komited memastikan kesejahteraan rakyat, termasuk golongan memerlukan agar tidak terpinggir daripada arus pembangunan.

Pada majlis itu, penyampaian angpau diberikan kepada penerima Orang Kurang Upaya (OKU) dan warga emas sebagai tanda keprihatinan serta sokongan kepada komuniti setempat.

“Sumbangan ini diharap dapat menceriakan sambutan Tahun Baharu Cina penerima selain meringankan sedikit beban perbelanjaan mereka,” katanya.

Hanifah menyantuni warga emas dan OKU dengan menyampaikan angpau pada majlis berkenaan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan kebudayaan termasuk tarian singa, tarian naga, nyanyian dan tarian oleh Persatuan Chiang Chuan.

Persembahan menambahkan kemeriahan dengan penyertaan anak muda dan penari wanita yang telah bergelar ibu.

Sambutan Tahun Baharu Cina Daerah Mukah 2026 menjadi simbol perpaduan kukuh masyarakat setempat dan komitmen pemimpin memastikan keharmonian serta kesejahteraan rakyat terpelihara.

Dengan semangat kebersamaan ini, Mukah terus menunjukkan contoh masyarakat majmuk yang hidup dalam aman, saling menghormati dan bekerjasama demi pembangunan daerah dan negeri.

-RJ-

Tinggalkan komen anda