
Laporan/foto: Salleh Immun/IPD Mukah
MUKAH, 1 Mac (MalaysiaAktif) – Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah (IPD Mukah) melaksanakan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah pada 27 Feb dari jam 10 malam hingga 1 pagi bagi meningkatkan keselamatan dan ketenteraman awam.

Penunggang motosikal diperiksa semasa pelaksanaan Kawalan Cegah Jenayah melalui Sekatan Jalan Raya.
Operasi melibatkan 18 pegawai dan anggota daripada pelbagai cawangan diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Daerah IPD Mukah Insp Song Ching Leng.
Kawasan tumpuan termasuk bandar Mukah, perumahan, laluan utama Jalan Pan Borneo Sibu-Bintulu serta kawasan Selangau yang dikenal pasti strategik dari segi pergerakan kenderaan dan orang awam.
Menurut kenyataan IPD Mukah, operasi dijalankan melalui Sekatan Jalan Raya (SJR), pemeriksaan mengejut atau Snap Check serta rondaan cegah jenayah di kawasan berisiko.
“Operasi ini bertujuan membanteras dan mencegah jenayah seperti kecurian kenderaan, pecah rumah, khianat terhadap kabel telekomunikasi serta penyalahgunaan dadah,” menurut kenyataan itu.
Sepanjang operasi, 101 individu dan 90 kenderaan diperiksa manakala enam saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas termasuk kegagalan mematuhi peraturan jalan raya.

Kes kecurian kabel elektrik turut menjadi tumpuan anggota Polis Peronda IPD Mukah semasa operasi cegah jenayah.
IPD Mukah memaklumkan pendekatan bersepadu itu penting bagi mengekang peningkatan jenayah harta benda dan berkaitan dadah di laluan utama seperti Pan Borneo.
Rondaan cegah jenayah turut dipertingkatkan di kawasan perumahan dan premis perniagaan bagi memberi keyakinan bahawa keselamatan masyarakat dipantau.
Kehadiran anggota polis secara berkala di lokasi tumpuan awam dilihat mampu mencegah niat individu melakukan jenayah dan mengurangkan risiko jenayah spontan.
“Kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan usaha pencegahan jenayah dilaksanakan secara berkesan dan berterusan,” kata Inspektor Song Ching Leng.
Beliau berkata kawalan cegah jenayah membantu polis memperoleh maklumat awal berkaitan pergerakan individu mencurigakan atau sindiket jenayah untuk tindakan pencegahan lebih awal.
-RJ-





