
Laporan/foto: Mohd Zahid Othman (Johor)/AKPS
JOHOR BAHRU, 10 April (MalaysiaAktif) – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 700 liter minuman keras pelbagai jenama tanpa cukai bernilai RM17,328.50 di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini kelmarin.
AKPS dalam satu kenyataan semalam memaklumkan rampasan dibuat hasil pemeriksaan ke atas sebuah van perdagangan dalam operasi pemantauan yang dijalankan oleh Unit Penguatkuasa AKPS di laluan pemandu bas arah ketibaan dari Singapura kira-kira pukul 3.20 petang.
Menurut kenyataan itu, pemeriksaan dilakukan selepas pihak berkuasa mengesan kehadiran seorang penumpang di sebelah pemandu, sedangkan hanya pemandu dibenarkan menggunakan laluan berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut dijalankan selepas pemandu dan penumpang van terbabit, kedua-duanya warga tempatan berumur 38 dan 43 tahun, enggan memberikan kerjasama serta tidak memberi sebarang reaksi ketika disoal.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah kotak yang ditutup dengan kain hitam mengandungi 888 botol minuman keras tidak diisytiharkan. Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak 700 liter dengan nilai barangan RM17,328.50,” menurut kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu lagi, jumlah cukai terlibat berjumlah RM93,324.26, menjadikan nilai keseluruhan rampasan RM110,652.76.
“Kesemua barangan rampasan telah disita dan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
-FN





