Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Anyaman Buluh Rumah Cherenga Terus Lestari, Jana Pendapatan Komuniti

By 10 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norliza Isahak/Ainie Elah (Sarikei)

SARIKEI, 10 April (MalaysiaAktif) – Kemahiran anyaman buluh yang diusahakan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Cherenga, Sungai Sentebu terus dipelihara sebagai warisan tradisi masyarakat setempat sejak tahun 2002 hingga kini.

Usaha ini berkembang hasil bantuan dan bimbingan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menggalakkan penduduk menjadikan kraftangan sebagai sumber pendapatan, sekali gus memperkukuh ekonomi komuniti luar bandar.

Kraftangan anyaman buluh yang halus dan setiap anyaman mencerminkan warisan budaya kesabaran dan kreativiti yang sangat mahir.

Salah seorang pengusaha, Umang Tangai, 60, berkata beliau mewarisi kemahiran anyaman daripada ibunya sejak kecil dan kini meneruskan tradisi tersebut bersama penduduk lain.

“Aktiviti menganyam bukan sahaja menjadi rutin harian kami, malah ia juga warisan yang perlu dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman.

“Antara hasil anyaman yang dihasilkan ialah ‘selok’ atau ‘sintong’ dalam bahasa Iban yang digunakan dalam adat merisik, selain bakul dan produk lain yang diperbuat daripada buluh kikis (buluh lemang) dan buluh engkalat,” katanya kepada Malaysia Aktif, di sini semalam.

Proses penghasilan sintong katanya mengambil masa hampir seminggu bermula daripada penyediaan buluh, termasuk proses mengikis, menjemur sehingga kering serta mewarnakan bahan sebelum dianyam.

Pengerusi JKKK Rumah Cherenga, Cherenga Tinman berkata hasil kraftangan tersebut mampu memberikan pulangan yang baik kepada pengusaha, dengan pengayak menjadi antara produk paling laris dijual pada harga antara RM12 hingga RM27 bergantung kepada saiz.

“Sintong pula dijual sekitar RM160 seunit dengan purata jualan kira-kira lima unit sebulan, menunjukkan permintaan terhadap produk tradisional ini masih tinggi,” katanya.

Sabrina Asong (dua kiri) mengangkat dan memartabatkan kraftangan tempatan sebagai warisan bernilai tinggi sekali gus menjadi generasi muda yang meneruskan warisan ini.

Selain anyaman buluh, seorang lagi pengusaha, Sabrina Asong, 27, turut menghasilkan tango atau marik empang yang sering digunakan sebagai perhiasan semasa sambutan Gawai Dayak, majlis keramaian, perkahwinan dan tarian ngajat.

“Cabaran utama adalah mendapatkan bekalan manik yang sukar diperoleh dan harganya agak tinggi, namun permintaan terhadap produk ini tetap menggalakkan,” katanya sambil memberitahu produk tango dijual antara RM100 hingga RM150 seunit dengan purata jualan tiga hingga lima unit sebulan.

Keunikan hasil anyaman yang halus dan teliti membolehkan pengusaha Rumah Cherenga bersaing dengan produk dari kawasan lain, selain permintaan yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

-FN

Tinggalkan komen anda