Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Bantuan Kerajaan, Badan Berkanun Dorong Kejayaan Zara Homemade Bakery

By 24 April 2026April 29th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman/Nur Haziqah Nabilah (Kerian)

BAGAN SERAI, 24 April (MalaysiaAktif) – Sokongan dan bantuan daripada pelbagai agensi kerajaan serta badan berkanun memungkinkan kejayaan Zara Homemade Bakery, di Kampung Selinsing, di sini dalam sektor pembuatan produk bakeri.

Norhayati Mohd Yusoff, 40, berkata bantuan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) serta Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) telah melengkapkan bengkelnya dengan peralatan industri.

“Pada peringkat awal, saya hanya menerima tempahan secara kecil-kecilan daripada keluarga dan rakan terdekat dengan peralatan yang sangat terhad.

“Melalui bantuan seperti ketuhar industri, mesin pengadun, peti sejuk beku dan meja keluli tahan karat, kapasiti pengeluaran saya kini lebih sistematik dan meningkat berbanding dahulu,” katanya kepada Malaysia Aktif, semalam.

Ibu kepada seorang cahaya mata ini berkata perniagaannya itu bermula melalui hobinya yang gemar menikmati pencuci mulut.

Tanpa sebarang latihan formal, wanita ini hanya bergantung kepada eksperimen resipi di dapur rumah bagi mengasah bakat dan membina keyakinan diri sebelum akhirnya menjadi sumber pendapatan utama buatnya hari ini.

Sementara itu, Pengurus Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Gunung Semanggol Nooraini Abu Bakar, berkata Norhayati merupakan antara usahawan contoh yang bernaung di bawah pusat tersebut sehingga dipilih sebagai Ikon NADI Gunung Semanggol.

Kegigihan Norhayati membuahkan hasil apabila produk keluarannya kini bukan sahaja mendapat tempat dalam pasaran tempatan, malah pernah menerima tempahan daripada pihak Kerajaan Negeri Perak selain aktif dipromosikan melalui platform media sosial.

Dari segi pendapatan, Zara Homemade Bakery mampu meraih jualan sekitar RM6,000 sebulan dan jumlah tersebut mampu melonjak sehingga RM12,000 menjelang musim perayaan.

“Kisah ini diharap dapat membuktikan bahawa dengan minat, usaha dan sokongan yang betul, perniagaan yang bermula dari bawah mampu berkembang menjadi satu kejayaan yang membanggakan,” katanya.

-FN

Tinggalkan komen anda