
Laporan/foto: Ahmad Nizam Abidin (Pekan)/Nursuraiya Hanani (KKPB)
PEKAN, 9 April (MalaysiaAktif) – Hari Konsultasi Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)/Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) Tahun 2026 memberi pendedahan menyeluruh berkaitan laluan masuk ke pendidikan peringkat tinggi serta peluang kerjaya kepada pengunjung.

Mohamad Hazrul Hafiz mencuba VR Google ketika lawatan ke reruai pameran TVET Kolej Komuniti Paya Besar.
Program anjuran Unit Hal Ehwal Murid (HEM), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pekan dengan kerjasama Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan (MGKK) Daerah Pekan, di sini hari ini bertujuan membimbing pelajar merancang hala tuju selepas tamat persekolahan.
Penolong Pegawai Sektor Pembangunan Murid, PPD Pekan Mohamad Hazrul Hafiz Mahmad Safian menekankan kepentingan menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi dan tidak tergesa-gesa memasuki alam pekerjaan tanpa kelayakan.
“Adalah sangat penting untuk pelajar menyambung pelajaran kerana ilmu dan kemahiran yang diperoleh akan menjadi aset paling berharga untuk masa depan yang lebih stabil,” katanya ketika berucap merasmikan majlis berkenaan, di sini hari ini.

Pelajar mendaftar UPU Online dengan bimbingan guru-guru kaunseling dari daerah Pekan.
Kolej Komuniti Paya Besar (KKPB) antara institusi yang menjadi tumpuan dengan mempromosikan pendidikan TVET melalui program seperti Sijil Teknologi Elektrik, Sijil Teknologi Maklumat dan Sijil Multimedia Kreatif Pengiklanan.
Selain itu, kolej tersebut turut menawarkan kursus Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) bagi meningkatkan kemahiran komuniti selaras dengan keperluan pasaran kerja semasa.
Menariknya, program ini turut menyediakan khidmat sokongan teknikal kepada pelajar melalui bimbingan guru kaunseling dalam mengisi permohonan UPUOnline menggunakan fasiliti komputer yang disediakan.
-RI





