
Laporan/foto: Mosin Ujap/Gordon Akin (Sibu)
SELANGAU, 9 April (MalaysiaAktif) – Penduduk Rumah Lawang di Bukit Baru, di sini kini menikmati peningkatan kualiti hidup hasil pelaksanaan Program Sejahtera Komuniti MADANI (SejaTi MADANI) yang memperkenalkan kemudahan kerusi urut moden.
Inisiatif Pembangunan Ekonomi Komuniti Desa itu melibatkan peruntukan sebanyak RM100,000 bagi menyediakan kemudahan tersebut kepada penduduk yang terlibat dalam aktiviti pertanian.
Tuai Rumah Lawang berkata penyediaan kerusi urut berkenaan merupakan keperluan kesihatan yang penting bagi golongan warga emas yang sering mengalami masalah lenguh badan.
Beliau menjelaskan kemudahan tersebut membantu penduduk melegakan kesakitan fizikal selepas seharian melakukan kerja-kerja berat di kawasan kebun.
“Kemudahan ini bukan satu kemewahan tetapi merupakan keperluan kesihatan yang memberi manfaat besar kepada komuniti kami,” katanya kepada MalaysiaAktif, semalam.
Penduduk hanya dikenakan kadar bayaran RM5 bagi sesi selama 20 minit sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap urutan tradisional yang memerlukan perjalanan jauh ke pusat bandar.
Seorang penduduk Ningkan Unsu, 60, meluahkan rasa syukur atas inisiatif tersebut yang disifatkan mampu mengurangkan tekanan serta menyegarkan badan.
“Selepas menggunakan kerusi urut ini badan terasa lebih ringan dan ia sangat membantu menghilangkan stres selepas seharian bekerja,” ujarnya.
Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar menikmati pembangunan inklusif yang memberi impak langsung kepada rakyat.
Projek Sejati MADANI diharap menjadi contoh kepada komuniti lain di daerah Selangau untuk melaksanakan inisiatif berimpak tinggi demi meningkatkan taraf hidup penduduk.
-RJ-





