Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Umai Kekal Ikon Warisan Melanau Tarik Pengaruh Pengunjung Ke Mukah

By 9 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 9 April (MalaysiaAktif) – Umai, hidangan tradisi masyarakat Melanau terus menjadi tarikan utama pengunjung yang mencari keunikan sajian di pesisir Sarawak.

Sajian daripada ikan mentah segar itu memiliki identiti tersendiri melalui penggunaan bahan tempatan serta kaedah penyediaan tradisional yang diwarisi turun-temurun.

Isi ikan yang sudah dihiris sebelum dibuat umai campur atau umai jeb (cicah).

Peniaga umai Suib Rosli berkata kesegaran ikan merupakan elemen utama bagi memastikan rasa dan kualiti hidangan tersebut kekal terjamin serta selamat dinikmati.

“Kesegaran ikan sangat penting kerana ia menentukan kualiti umai selain memastikan hidangan ini enak untuk dimakan oleh pelanggan,” katanya kepada MalaysiaAktif, di sini hari ini.

Katanya terdapat dua jenis umai yang popular iaitu umai campur dan umai jeb dengan kaedah penyediaan berbeza mengikut cita rasa pengguna.

Peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Halidi menjelaskan sambal umai dihasilkan daripada campuran air limau kasturi, hirisan bawang, cili serta garam bagi menghasilkan rasa masam dan pedas.

Beliau berkata walaupun bahan sambal kini menggunakan limau kasturi namun kaedah penyediaannya masih mengekalkan cara tradisional yang menjadi identiti masyarakat Melanau.

Halidi sedang membuat belahan ikan empirang untuk dijadikan umai sebelum dihiris halus di Pasar Basah Mukah.

Seorang lagi peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Andy berkata permintaan terhadap umai semakin meningkat bukan sahaja dalam kalangan penduduk tempatan malah turut menarik minat pengunjung luar.

“Umai sering menjadi buruan ramai terutama pada waktu pagi apabila bekalan ikan segar baru dibawa masuk oleh nelayan ke pasar,” katanya.

Hidangan ini dijual pada harga berpatutan sekitar RM12 bagi satu bekas manakala sambal dijual berasingan antara RM3 hingga RM5 mengikut jenis pesanan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda