Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Penggunaan Sumber Air Secara Haram Punca Gangguan Bekalan

By 7 April 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)

IPOH, 7 April (MalaysiaAktif) – Kerajaan negeri Perak mendedahkan aktiviti pengambilan air secara haram oleh pengusaha durian dikesan menjadi punca utama gangguan bekalan air yang menjejaskan penduduk di sekitar Mukim Chegar Galah dan kawasan sekitarnya.

Menteri Besar Perak Dato’ Seri Saarani Mohamad berkata siasatan mendapati sebanyak 34 pengusaha tanaman durian di kawasan tersebut telah bertindak menyedut air terus daripada sumber tadahan bagi kegunaan ladang mereka.

“Aktiviti menyedut air secara bersendirian ini menyebabkan paras air di kolam takungan surut, sekali gus mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Lembaga Air Perak (LAP) di Sauk tidak dapat mengekstrak bekalan air yang mencukupi untuk disalurkan kepada penduduk.

“LAP telah memaklumkan bahawa mereka gagal mengambil air kerana bekalan daripada sumber tadahan tersebut sangat sedikit akibat aktiviti haram ini,” katanya kepada pemberita selepas Penyerahan Buku Rujukan Tambahan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Program Tuisyen Cikgu Saarani, di Foyer Pejabat Menteri Besar Perak, di sini semalam.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil melalui Lembaga Pengurusan Sumber Air Perak (LPSA Perak) dan LAP bermula semalam atau hari ini bagi menghentikan aktiviti tersebut mengikut peruntukan undang-undang.

“Langkah pertama adalah mencabut keluar semua paip air yang dipasang secara haram tersebut kerana ia jelas menyalahi undang-undang di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) kerana mengambil air terus daripada sumber tanpa kebenaran.

“Sekiranya pengusaha durian ini memerlukan bekalan air untuk tanaman, mereka seharusnya memohon dan mengambil bekalan melalui saluran yang betul daripada LRA seperti pengguna lain, bukan dengan mencuri daripada sumber asal sehingga menjejaskan kepentingan awam,” katanya.

Beliau menambah, tindakan segera itu diharapkan dapat memulihkan paras air di kolam takungan bagi membolehkan LRA Sabau beroperasi pada kapasiti penuh dan menyalurkan semula bekalan air kepada penduduk yang terjejas.

-RI

Tinggalkan komen anda