
Laporan/foto: Sarah Nur/Mohammad Ezwandi (Perak)
IPOH, 14 April (MalaysiaAktif) – Perak kini giat membangunkan infrastruktur digital sebagai langkah merealisasikan aspirasi negeri pintar, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Istiadat Pembukaan Rasmi Tahun Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Turut berangkat, Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim.

Sultan Nazrin ketika menyampaikan di Dewan Negeri Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Titah baginda, agenda negeri pintar menuntut modal insan yang kompeten demi memastikan perkhidmatan lebih efektif kepada rakyat.
Menurut Sultan Nazrin, infrastruktur digital negeri dipertingkatkan melalui pengukuhan rangkaian 5G dengan pembinaan 301 pemancar baharu serta pembangunan Pusat Data Negeri berkonsepkan teknologi hijau.
“Beta menzahirkan penghargaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang meluluskan peruntukan RM350 juta bagi pembangunan bandar pintar, sekali gus membolehkan Pusat Kawalan dan Operasi Rangkaian Bersepadu Negeri Perak dibangunkan,” titah baginda.
Jelas baginda, pusat kawalan bersepadu itu akan menjadi nadi operasi negeri yang berhubung terus dengan setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), selain berfungsi sebagai wadah penyelarasan keselamatan awam, pengurusan bencana, pemantauan aset melalui analitik data serta teknologi kembaran digital.
Sultan Nazrin turut memaklumkan bahawa tujuh daripada 15 PBT di negeri itu telah meraih pengiktirafan Smart City Early Adopters daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), manakala enam lagi dijangka menyusul tahun ini.
Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) turut dijadikan contoh peneraju dalam memanfaatkan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI) menerusi inovasi Pusat Perintah Operasi Bersepadu Ipoh serta Sistem Pengurusan Lalu Lintas Pintar (SPLiT).
Dalam pada itu, Sultan Nazrin menekankan bahawa pembangunan teknologi canggih perlu seiring dengan kemampuan menyantuni rakyat bagi merapatkan jurang kesenjangan sosial dan agenda pendigitalan inklusif melalui rangkaian Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah menyantuni 176,379 rakyat.
Baginda turut berkongsi kejayaan ahli NADI Bukit Chandan, Ahmad Salimie Baskani, seorang OKU yang meraih tempat ketiga dalam Malaysia Culinary World Cup 2025 bagi kategori biskut, serta pencapaian peserta NADI Felda Gunung Besout 1 yang membawa pulang tiga pingat emas dalam pertandingan robotik antarabangsa di Bangkok, Thailand.
-RI





