
Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)
BACHOK, 29 April (MalaysiaAktif) – Suasana meriah di tepi pantai nelayan Kampung Pantai Baru apabila kawasan itu dibanjiri orang ramai yang mengunjungi Pesta Ikan Pukat Kaya, yang menawarkan hasil laut segar terus daripada nelayan tempatan dengan harga berpatutan sejak lebih seminggu lalu.

Ketua nelayan pukat kaya, Adnan Arifin sibuk menunjukkan ikan yang baru sahaja mendarat
Setiap pagi, nelayan turun ke laut dan kembali dengan hasil tangkapan yang banyak sebelum dijual terus kepada orang ramai sehingga habis setiap hari, menjadikan kawasan tersebut seperti pesta jualan hasil laut berterusan.
Antara hasil laut yang menjadi tumpuan ialah ikan kembung, selar, merah, tongkol, cencaru, tenggiri, pari, udang dan sotong yang mendapat sambutan hangat pembeli.
Ketua nelayan pukat kaya, Adnan Arifin, 60, berkata hasil tangkapan ikan ketika ini amat memberangsangkan, sekali gus membolehkan nelayan menjual terus kepada orang ramai tanpa melalui orang tengah.
“Hasil ikan memang banyak sejak lapan hari lalu. Kami jual terus dengan harga lebih murah supaya orang ramai dapat menikmati ikan segar,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sotong dan udang segar menjadi rebutan kaum ibu
Fenomena ini turut membantu rakyat berdepan situasi kenaikan kos sara hidup global, apabila masyarakat dilihat lebih bijak berbelanja dan memilih sumber makanan lebih mampu milik.
Seorang pembeli, Azibah Hassan, 35, berkata pembelian di lokasi tersebut sangat membantu perbelanjaan dapur keluarga kerana harga lebih murah dan pilihan ikan yang pelbagai.
Dalam menghadapi krisis bekalan global, amalan berjimat cermat, berbelanja secara berhemah dan mencari barang pada harga berpatutan menjadi kunci utama kelangsungan kehidupan harian rakyat.
-AA-





