
Laporan/foto: Matsukarmi Suani/Rizalman Daim (Balingian)
BALINGIAN, 29 April (MalaysiaAktif) – Klinik Kesihatan (KK) Kuala Balingian dan KK Balingian bakal menerima peruntukan kelengkapan perubatan bernilai hampir RM200,000 bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan luar bandar.
Timbalan Menteri Kesihata, Dato Hanifah Hajar Taib berkata peruntukan tersebut merangkumi mesin ultrasound, autoclave, peralatan makmal serta penggantian sebuah ambulans baharu.
Beliau berkata tumpuan utama penambahbaikan adalah untuk menyediakan peralatan khusus seperti kemudahan saringan komplikasi mata bagi pesakit kencing manis secara terus di klinik tersebut.
“Saya akan berusaha mendapatkan kemudahan ini di bawah peruntukan sendiri bagi mengurangkan beban pesakit yang terpaksa ke Hospital Mukah atau Hospital Bintulu untuk mendapatkan pengesahan ujian,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja ke fasiliti berkenaan, hari ini.
Menurut Hanifah, Kementerian Kesihatan (KKM) turut memberi penekanan kepada isu infrastruktur termasuk cadangan penambahan tangki air dan sistem penapis bagi menangani kekurangan bekalan ketika musim kemarau.
Ahli Parlimen Mukah itu turut menyarankan penggunaan cat bumbung khas bagi mengurangkan bahang kepanasan di dalam bangunan akibat peningkatan suhu semasa.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan menempatkan peralatan ujian khusus bagi penyaringan penyakit tuberkulosis (TB) untuk mempercepatkan proses diagnosis awal di peringkat akar umbi.
“Peralatan khusus untuk pesakit TB mesti disediakan supaya klinik dapat memulakan rawatan terus tanpa membuang waktu serta kos perjalanan pesakit ke hospital besar,” katanya.
Segala usaha menaik taraf prasarana tersebut akan diselaraskan menerusi kerjasama erat antara Pejabat Kesihatan Bahagian, Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Inisiatif di bawah Jelajah Kesihatan Borneo (JKB) Siri II ini dijangka mampu menjamin akses serta keselesaan rawatan yang lebih optimum buat penduduk di kawasan Balingian.
-RJ-





