
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
KEPONG, 2 Apr (MalaysiaAktif) – Pencapaian 100 tahun Institut Latihan Perhutanan (FORTRAIN) di bawah seliaan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) adalah satu penanda aras yang luar biasa bagi sebuah pusat latihan teknikal di Malaysia.

Arthur menandatangani plak Majlis Sambutan 100 Tahun FORTRAIN.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata FORTRAIN terus memainkan peranan kritikal dalam melahirkan barisan tenaga kerja profesional yang mampu memenuhi keperluan industri perhutanan yang sentiasa dinamik.
“Fokus utama institusi ini adalah untuk melahirkan pakar dalam aspek pengurusan hutan mampan, pemindahan teknologi terkini, serta pembangunan kepakaran teknikal yang mendalam dalam bidang perhutanan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap di Sambutan 100 Tahun FORTRAIN di Dewan Alwy Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha NRES, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin Ketua Pengarah JPSM Datuk Zahari Ibrahim.
Tambahnya, keberhasilan FORTRAIN sepanjang seratus tahun yang lalu telah membantu negara mengekalkan keseimbangan antara pembangunan ekonomi berasaskan sumber asli dengan keperluan pemuliharaan alam sekitar.

Arthur menanam pokok Sang Daun sebagai simbolik Sambutan 100 Tahun FORTRAIN.
“Tanpa kepakaran yang dilatih secara sistematik di sini, usaha untuk menguruskan hutan secara lestari mungkin akan menghadapi pelbagai kekangan teknikal.
“Kementerian melihat FORTRAIN sebagai sebuah enjin utama yang menggerakkan agenda kelestarian alam melalui pengurusan sumber manusia yang berkualiti tinggi, berintegriti, dan mempunyai visi yang jelas terhadap masa depan ekosistem hutan negara,” tegasnya.
FORTRAIN bermula sebagai Sekolah Perhutanan Kepong (SPK) pada tahun 1926 diasaskan oleh D. H. Hodgson dengan hanya seramai 12 orang pelatih perintis.
Sejak melalui proses penjenamaan semula kepada nama FORTRAIN pada tahun 2010, institusi tersebut terus memperkukuh kurikulum latihannya agar sentiasa selari dengan perkembangan teknologi global.
Setakat ini, FORTRAIN berjaya melahirkan seramai 6,369 orang pelatih dan kini sedang berkhidmat dalam pelbagai sektor strategik di seluruh negara.
-RI





