
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 16 April (MalaysiaAktif) – Kunjungan hormat oleh All-Party Parliamentary Group Malaysia on Sustainable Development Goals (APPGM-SDG) ke atas Tidal Bore Boxing Club hari ini membuka jalan untuk lebih usaha memperkukuh belia berteraskan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).
Pihak APPGM-SDG berkata inisiatif kelab sukan tersebut yang menjadikan sukan tinju sebagai platform pembangunan sahsiah dan membantu golongan muda membina disiplin diri adalah selari dengan agenda pembangunan mampan terutama dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan komuniti.
Langkah itu juga menurut Pengerusi Tidal Bore Boxing Club Awangku Hafizi Awang Azahari bertujuan memastikan belia mempunyai hala tuju hidup positif bagi mengelakkan terjebak dengan masalah sosial.
Awangku Hafizi berkata lawatan itu membuka ruang kepada kelabnya memperluas kerjasama strategik melalui pendekatan komuniti.
“Kerjasama ini sangat penting kerana memberi pengiktirafan kepada usaha di peringkat akar umbi selain membuka peluang memperkukuh program belia yang lebih berimpak,” katanya ketika ditemui hari ini.
Kunjungan hormat yang diketuai Ketua Sekretariat APPGM-SDG Malaysia Datuk Dr. Denison Jayasooria itu turut membuka ruang dialog antara kedua-dua pihak bagi meneroka potensi program pembangunan komuniti berasaskan sukan di daerah ini.
Kerjasama tersebut memberi tumpuan kepada peranan sukan sebagai medium pembangunan sosial bagi membentuk generasi muda yang sihat, berdisiplin dan berdaya tahan.
-RJ-





