Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Jabatan Tanah dan Survei Mukah Salur Bantuan CSR RM50,000

By 16 April 2026Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)

MUKAH, 16 April (MalaysiaAktif) – Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Mukah menyalurkan bantuan berjumlah RM50,000 kepada empat penerima melibatkan institusi pendidikan dan jawatankuasa komuniti setempat, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata bantuan tersebut diserahkan melalui inisiatif Dana Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri Tellian untuk tahun ini.

“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Nanga Sikat menerima peruntukan RM20,000 manakala tiga Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) masing-masing menerima RM10,000.

“Penerima bantuan JKKK tersebut melibatkan Rumah Randi Ugil, Rumah Empi Daweh dan Rumah Minggu Garung,” katanya, di sini.

Royston berkata bantuan tersebut merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kebajikan masyarakat luar bandar diberi perhatian terutama aspek pendidikan.

“Peruntukan ini diharap dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua penerima bagi meningkatkan kemudahan sekolah mahupun memperkukuh aktiviti kemasyarakatan,” katanya.

Beliau menjelaskan pendekatan CSR agensi kerajaan berperanan merapatkan jurang pembangunan luar bandar selaras dengan agenda pembangunan inklusif negara.

-RJ-

Tinggalkan komen anda