Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

105 KIR Sertai Program Keluarga Angkat One Stop Centre Sejahtera Sosial Kerian

By 15 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Marshita Othman (Kerian)/Pejabat Daerah Kerian

BAGAN SERAI, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 105 Ketua Isi Rumah (KIR) daripada kumpulan miskin dan miskin tegar yang berdaftar eKasih di daerah Kerian telah dikenal pasti sebagai peserta Program Keluarga Angkat One Stop Centre (OSC) Sejahtera Sosial Peringkat Daerah Kerian.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Perak, Dato’ Salbiah Mohamed yang bertempat di Dewan Komuniti Bagan Serai, di sini kelmarin.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa program tahun 2026 tampil dengan pendekatan yang lebih menyeluruh berbanding sebelum ini, bukan sahaja menyalurkan bantuan secara langsung tetapi turut memberi penekanan kepada intervensi serta pemantauan menerusi konsep keluarga angkat demi memastikan peningkatan kualiti hidup secara berterusan.

“Pendekatan tahun ini bukan sahaja memberi bantuan, malah menekankan pemantauan berterusan.

“Kita mahu setiap bantuan yang disalurkan memberi impak maksimum dan benar-benar mengubah taraf hidup keluarga sasar,” ujarnya.

Beliau berkata melalui proses profiling yang teliti, semua keluarga ini dibahagikan kepada empat kluster utama iaitu Kesihatan, Keusahawanan, TVET (Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional) serta Sumber Manusia.

Fasa pertama program ini dijangka selesai pada 30 Jun depan, manakala intervensi mengikut kluster di bawah Fasa 2 akan diteruskan sehingga 15 November 2026.

Turut diadakan acara kenduri rakyat bagi mendekatkan hubungan antara pemimpin, agensi kerajaan dan masyarakat setempat.

Sejurus tamat majlis perasmian, Salbiah turut menyertai slot Ziarah Kasih ke rumah keluarga angkat terpilih bagi memahami realiti kehidupan mereka secara lebih dekat serta memastikan bantuan yang diberikan menepati keperluan sebenar.

-AA-

Tinggalkan komen anda