
Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 13 Mei (MalaysiaAktif) – Seramai 150 orang peserta berkumpul bagi merangka Pelan Tindakan Bandar Pintar Mampan Daerah Pendang 2035 yang menyasar daerah itu sebagai sebuah bandar pintar dengan kualiti hidup rakyat yang dipertingkat.
Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang, Nasrun Mohd Sheriff berkata kesemua mereka terdiri daripada warga pelbagai agensi antaranya Jabatan Perangkaan Negeri Kedah, Pejabat Kesihatan Daerah Pendang, dan Pejabat Penerangan Daerah Pendang serta agensi kerajaan negeri.
“Kejayaan agenda bandar pintar memerlukan kerjasama erat antara kerajaan, agensi teknikal, sektor swasta, komuniti setempat serta seluruh warga Pendang.
“Pembangunan bandar pintar bukan tanggungjawab satu agensi sahaja, tetapi ia memerlukan penglibatan semua pihak supaya teknologi, data dan inovasi dapat dimanfaatkan secara menyeluruh demi menjadikan pengurusan bandar lebih cekap, mampan dan responsif,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi libat urus penyediaan pelan berkenaan di Dewan Cenderawasih, di sini semalam.
Beliau berkata pembangunan bandar pintar bukan hanya tertumpu kepada penggunaan teknologi semata-mata.
“Ia sebaliknya melibatkan usaha menyeluruh untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat serta memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat,” katanya.
-RI





