
Laporan/foto: Aishah Latip/Cassidy Lisut (Lundu)
LUNDU, 1 Mei (MalaysiaAktif) – Sebanyak 538 ekor anak penyu dilepaskan ke laut di Pantai Pugu, di sini semalam bagi memperkukuh komitmen pemuliharaan spesies terancam di Sarawak.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata usaha tersebut merupakan pelaburan jangka panjang dalam memastikan kelestarian ekosistem marin negara.
“Usaha ini bukan sekadar program jangka pendek tetapi langkah berterusan untuk mengekalkan keseimbangan ekosistem laut.
“Usaha pemuliharaan penyu memerlukan pendekatan bersepadu bagi melindungi spesies tersebut daripada gangguan manusia serta faktor semula jadi,” katanya ketika merasmikan Tapak Penetasan Telur Penyu di sini semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Sarawak Forestry Corporation (SFC), Abang Arabi Abang Aimran berkata program tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama antara kerajaan dan komuniti setempat.
Menurut Abang Arabi, kawasan berkenaan kini diurus secara bersama melalui pelantikan tujuh renjer komuniti atau wildlife guardian bagi menjaga keselamatan tapak penetasan.
“Pendekatan berasaskan komuniti ini turut memberi nilai tambah kepada sosioekonomi penduduk melalui peluang ekopelancongan mampan,” ujarnya.
Inisiatif tersebut selaras dengan Pelan Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030) yang menekankan pengurusan sumber alam secara lestari.
Pantai Pugu kini muncul sebagai model pemuliharaan berasaskan komuniti yang berjaya di Sarawak selain menjadi lokasi penting pendaratan penyu.
-RJ-





