
Laporan/foto: Nurhawa Baizura/AK Mohd Affendy (Beaufort)
BEAUFORT, 4 Mei (MalaysiaAktif) – Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort berjaya mengumpul 30 beg darah menerusi program derma darah sempena Sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia, di sini kelmarin.
Program anjuran bersama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Bomba dan Penyelamat (Perisma) yang bertemakan ‘Setitis Darah Sejuta Harapan’ itu bertujuan membantu menambah bekalan darah Hospital Beaufort.
Pegawai Perubatan Unit Perubatan Transfusi Hospital Beaufort Norilmi Juzuli berkata kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menderma darah perlu terus dipertingkatkan.
Beliau menjelaskan satu beg darah mampu menyelamatkan sehingga tiga nyawa.
“Program seperti ini amat penting bagi memastikan bekalan darah sentiasa mencukupi, seterusnya membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa,” katanya kepada Malaysia Aktif.
Pengunjung yang hadir turut berpeluang melihat aset jentera baharu yang dipamerkan bagi memberi pendedahan mengenai keupayaan serta kelengkapan moden pasukan bomba.
Program seawal 8 pagi itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk sekitar termasuk komuniti Kampung Takuli.
-RJ-





