
Laporan/foto: Salleh Immun (Mukah)/IPD Mukah
MUKAH, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Polis menahan dua lelaki warga asing yang disyaki mencuri peralatan kerja pembinaan membabitkan kerugian kira-kira RM5,000, semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias berkata tangkapan dilakukan susulan laporan kehilangan barang di Kampung Tellian Tengah oleh seorang pengurus syarikat tempatan yang mendapati peralatan milik syarikatnya hilang, 3 Mei lepas.
“Pengadu mengesyaki dua pekerjanya terbabit dalam kejadian tersebut selepas kedua-dua individu itu menghilangkan diri,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata serbuan pertama pada kira-kira pukul 12 tengah hari di sebuah pondok kayu di Kampung Sesok Mukah berjaya menahan suspek berusia 34 tahun.
Hasil soal siasat membawa kepada serbuan kedua kira-kira sejam kemudian di sebuah rumah kongsi di Jalan Desa Tanjung Mukah sebelum seorang lagi suspek berusia 33 tahun ditahan.
“Polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum yang munasabah ketika menahan kedua-dua suspek kerana mereka bertindak agresif semasa cuba meloloskan diri,” katanya.
Tangkapan itu katanya membawa kepada penemuan semula mesin gerudi, dua mesin pengisar, mesin jigsaw dan sebuah telefon bimbit yang dipercayai dicuri.
“Kedua-dua suspek yang positif ujian saringan dadah kini direman sehingga 18 Mei ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
-RJ-





