Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Penduduk Bimbang Limpahan Air Berlumpur Ketika Hujan Lebat

By 15 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)

DAMANSARA, 15 Mei (MalaysiaAktif) – Keselamatan cerun dan struktur tembok penahan di kawasan pembangunan Empire Residence, Damansara Perdana, di sini mendatangkan kebimbangan kepada penduduk yang mendakwa berlaku limpahan air berlumpur ketika hujan lebat.

Ahli Parlimen Damansara Gobind Singh Deo berkata kebimbangan semakin meningkat apabila terdapat cadangan pembangunan tiga blok pangsapuri setinggi 26 tingkat berhampiran kawasan cerun yang dipersoalkan penduduk.

Katanya, isu utama ketika ini ialah sama ada cerun tersebut selamat serta mematuhi polisi pembangunan jika dikategorikan sebagai cerun tahap tiga atau empat.

“Kalau cerun itu tidak selamat, pembangunan yang dicadangkan mungkin boleh membawa kepada keadaan berbahaya dan memudaratkan keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui di lokasi, hari ini.

Menurutnya, air melimpah dengan kuat ketika hujan dan keadaan itu membimbangkan kerana bercampur lumpur selain menimbulkan persoalan berkaitan tahap keselamatan kawasan berkenaan.

“Bagi saya, tiada kompromi dalam soal keselamatan. Kita mahu laporan pakar supaya keputusan dibuat berdasarkan fakta dan penilaian teknikal,” katanya.

Sementara itu, Gobind turun padang meninjau sendiri keadaan cerun serta tembok penahan selepas menerima pelbagai aduan daripada penduduk setempat.

Beliau memandang serius perkara itu dan tidak mahu sebarang pembangunan diteruskan sekiranya boleh mengundang risiko terhadap keselamatan penduduk di kawasan berkenaan.

Katanya, pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya sudah mengeluarkan saman terhadap pemaju serta mengarahkan laporan pakar keselamatan cerun disediakan dalam tempoh 14 hari.

Dalam masa sama, beliau berkata tindakan jangka pendek seperti pembersihan kawasan pembinaan dan pembinaan parit sementara tetap diteruskan sementara menunggu laporan lengkap disediakan.

-RI

Tinggalkan komen anda