Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

“Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi” Galak Pemeriksaan Pergigian Tahunan

By 24 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mahadi Mustafa/Aniss Rahin (Hulu Terengganu)

HULU TERENGGANU, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Slogan “Ingat Hari Jadi, Ingat Doktor Gigi” diharap dapat dijadikan kebiasaan dalam kalangan penjawat awam bagi melakukan pemeriksaan pergigian tahunan selaras dengan amalan budaya kerja yang sihat, kata Pegawai Pergigian Dr. Nurul Izzah Mustaffa @ Abd Halim.

“Kami berharap kesedaran terhadap pemeriksaan pergigian dapat dipertingkatkan kerana amalan ini membantu mengurangkan kadar karies gigi selain membolehkan pencegahan dan pengesanan awal penyakit dalam mulut dilakukan dengan lebih berkesan.

“Dengan langkah ini, rakyat bukan sahaja dapat mengekalkan senyuman sihat, malah mengurangkan kos rawatan jangka panjang,” katanya pada Kempen Pemeriksaan Pergigian Setahun Sekali (PEPS1S) anjuran Klinik Pergigian Kuala Berang di Pejabat Penerangan Daerah Hulu Terengganu, di sini Rabu lalu.

Pegawai dan kakitangan Pejabat Penerangan Daerah Hulu Terengganu menyambut baik Kempen PEPS1S.

Program yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat khususnya penjawat awam terhadap kepentingan menjaga kesihatan mulut melalui pemeriksaan pergigian secara berkala mendapat sambutan baik daripada pegawai dan kakitangan.

Antara perhidmatan yang disediakan termasuk rawatan pergigian seperti tampalan, penskaleran gigi dan khidmat nasihat pergigian secara percuma.

Sementara itu, kakitangan pembersihan Siti Anasuhah Namrang, 32, meluahkan rasa gembira kerana kempen tersebut memudahkan pekerja mendapatkan pemeriksaan dan rawatan pergigian di tempat kerja, terutama bagi mereka yang berdepan kekangan masa untuk hadir ke klinik.

“Saya jarang berkesempatan ke klinik pergigian kerana kesibukan tugas. Program PEPS1S memberi peluang mudah untuk saya membuat pemeriksaan dan lebih peka terhadap penjagaan kesihatan mulut,” ujarnya.

-RI

Tinggalkan komen anda