Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Kejohanan Olahraga MSSD Limbang Platform Cungkil Atlet Pelapis

By 22 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Sumardi Sugiman/Muhamad Rizal Sabtu (Limbang)

LIMBANG, 22 Mei (MalaysiaAktif) – Kejohanan Olahraga Sekolah Rendah Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Limbang Kali Ke-55 Tahun 2026 yang berlangsung hari ini di Kompleks Sukan Limbang menjadi platform penting mencungkil atlet pelapis berpotensi.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak Dr Abdul Rahman Ismail berkata kejohanan tersebut memberi peluang kepada murid menunjukkan bakat serta menjadi medium membentuk sahsiah diri.

Beliau menjelaskan kejohanan olahraga itu turut menjadi pemangkin kepada amalan gaya hidup sihat dalam kalangan murid sejak usia muda.

“Acara ini menjadi medan penting untuk mengenal pasti dan mencungkil bakat muda di daerah ini untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi iaitu bahagian, negeri dan kebangsaan,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian ketika berucap pada majlis penangguhan dan penyampaian hadiah kejohanan tersebut di Kompleks Sukan Limbang baru-baru ini.

Menurut beliau, kejohanan seperti itu turut menggalakkan penyertaan aktif murid dalam sukan sekali gus membantu mengurangkan masalah obesiti serta meningkatkan kecergasan fizikal dan ketahanan mental.

Beliau menambah program berkenaan juga memberi pendedahan dan pengalaman berharga kepada murid untuk bersaing secara sihat serta meningkatkan keyakinan diri di khalayak.

“Program seperti ini memberi ruang kepada murid-murid pelbagai latar belakang etnik dan sekolah berinteraksi sekali gus mengeratkan silaturahim serta menyemai semangat perpaduan,” katanya.

Kejohanan selama tiga hari bermula 19 hingga 21 Mei itu melibatkan penyertaan 35 sekolah rendah dari seluruh daerah Limbang.

Sukan tahunan tersebut berlangsung dalam suasana meriah serta dipenuhi dengan semangat kesukanan yang tinggi daripada semua kontinjen bertanding.

-RJ-

Tinggalkan komen anda