Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Pahang Terus Kukuh Ekonomi, Pelaburan dan Digitalisasi – Tengku Hassanal

By 9 Mei 2026Mei 11th, 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar kerajaan negeri mempercepat proses pelaburan, memperkukuh ekonomi rakyat serta memperhebat transformasi digital demi memastikan Pahang terus kekal sebagai negeri maju dan berdaya saing.

Titah Baginda, pencapaian kutipan hasil negeri yang melebihi RM1 bilion selama empat tahun berturut-turut sejak 2022 membuktikan kecekapan pentadbiran kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi.

“Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.7 peratus dengan nilai ekonomi mencecah RM68 bilion sekali gus meletakkan Pahang dalam kalangan empat negeri terbaik pada tahun 2024,” titah Baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pahang Ke-15 di Dewan Negeri, Wisma Sri Pahang, di sini semalam.

Baginda bertitah proses pelaburan perlu dipermudahkan melalui pengurangan kerenah birokrasi, mempercepat kelulusan serta memastikan ketersediaan tanah dan infrastruktur yang mencukupi.

“Syarikat yang berdaya saing, tulen dan betul-betul nak melabur, kita mudahkan. Beri mereka fast lane dan fast track. Kalau proses biasa, kelulusan tanah mungkin 18 hingga 24 bulan, tetapi untuk pelabur yang benar-benar serius, cuba selesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan,” titah Baginda.

Selain itu, baginda mahu syarikat berkaitan kerajaan negeri terus diperkasa sebagai pemacu utama ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda.

Menyentuh cabaran ekonomi global dan kos sara hidup, Baginda menzahirkan penghargaan terhadap langkah kerajaan negeri yang menyediakan peruntukan bakul makanan RM15,000 seminggu bagi semua 42 Dewan Negeri selain pelaksanaan pelbagai inisiatif bantuan rakyat.

Baginda turut menyeru kerajaan negeri memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi, menarik pelaburan teknologi dan tenaga baharu serta melaksanakan dasar lebih responsif terhadap kenaikan kos sara hidup.

-AA-

Tinggalkan komen anda