
Laporan/foto: Nik Fatin Nik Hasri (Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 9 Mei (MalaysiaAktif) – Pertandingan Wau Naik Tertutup Kampung Teluk Paku 2026 berlangsung meriah dengan penyertaan serta kehadiran penduduk setempat yang amat menggalakkan.
Program anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Teluk Paku itu bukan sahaja mengetengahkan keunikan permainan tradisional masyarakat Pantai Timur, malah menjadi platform mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan komuniti setempat.

Pengerusi JPKK Kampung Teluk Paku (baju kuning) menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Wau Naik Tertutup Kampung Teluk Paku 2026
Pengerusi JPKK Kampung Teluk Paku, Tengku Nor Azan Tengku Jaafar, berkata program tersebut dianjurkan bagi memupuk semangat silaturahim dalam kalangan masyarakat di samping memelihara warisan permainan tradisional agar terus diminati generasi muda.
“Pertandingan seperti ini mampu menghidupkan kembali budaya tradisional dan memberi peluang kepada masyarakat berkumpul dalam suasana harmoni,” katanya di sini, semalam.
Tambahnya, program ini turut mendapat kerjasama padu daripada penduduk kampung yang bersama-sama menjayakan acara berkenaan sekali gus menyerlahkan semangat muafakat dalam kalangan komuniti demi memastikan acara tersebut berlangsung dengan lancar, meriah dan penuh harmoni.
Sebagai penutup acara, suasana terus gamat dengan sesi cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa seekor kambing biri-biri, sekali gus menambah keterujaan dalam kalangan pengunjung yang hadir.
-AA-





