
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wenanddo (Mukah)
MUKAH, 24 Mei (MalaysiaAktif) – Program Charity Outreach: Care for Community Mukah (PAWE) anjuran Universiti Teknologi Sarawak (UTS) berjaya mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan komuniti warga emas di daerah ini semalam.
Program kemasyarakatan tersebut dilaksanakan oleh Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi (SET) UTS bertempat di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Mukah.
Majlis berkenaan dihadiri oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian Royston Valentine bersama-sama penghuni pusat kebajikan, barisan pensyarah serta mahasiswa universiti tersebut.
Penganjuran program itu merupakan sebahagian daripada usaha penglibatan komuniti dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) UTS dalam menyokong kebajikan golongan warga emas.
Royston berkata program sedemikian mencerminkan keprihatinan institusi pengajian tinggi dalam memainkan peranan aktif bagi membantu masyarakat setempat.
“Program seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja memberi sumbangan kepada warga emas, tetapi juga menyemai nilai kasih sayang, hormat-menghormati dan semangat kebersamaan,” katanya.
Beliau menjelaskan penglibatan golongan akademik serta mahasiswa dalam aktiviti luar mampu melahirkan generasi yang lebih prihatin terhadap isu sosial.
Wakil pihak penganjur berkata program tersebut turut menjadi platform penting untuk kakitangan universiti menyumbang bakti di luar peranan profesional masing-masing.
Menurut beliau pendekatan itu secara tidak langsung dapat menggalakkan budaya sukarelawan yang tinggi dalam kalangan tenaga pengajar dan pelajar kampus.
Sepanjang program, para peserta berpeluang berinteraksi bersama warga emas menerusi pelbagai aktiviti santai serta sesi ramah mesra bagi menceriakan penghuni.
Aktiviti tersebut memberi pendedahan kepada peserta mengenai cabaran harian warga tua sekali gus meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebajikan sesama manusia.
Pihak UTS berharap program berteraskan komuniti seperti itu dapat diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih banyak agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan.
-RJ-






