
Laporan/foto: Aidil Azhar/Hasmah Hanafi (Bandar Baharu)
BANDAR BAHARU, 12 Mei (MalaysiaAktif) – Program sihat warga emas, RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni sempena Sambutan Hari Warga Emas Daerah Bandar Baharu yang berlangsung di Dewan Serdang, di sini semalam mendapat sambutan menggalakkan daripada warga emas dan masyarakat setempat.
Menurut Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Bandar Baharu Hilnani Marzuki, Program RYTHM – Ritma Kehidupan Harmoni merupakan inisiatif sukarelawan kolaboratif antara Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Daerah Bandar Baharu serta beberapa agensi kerajaan lain.
“Program bertujuan memupuk kesejahteraan masyarakat melalui aktiviti sihat untuk warga emas selain mengeratkan hubungan antara golongan belia dan warga emas,” katanya.
Seorang peserta, Norlela Jaafar, 52, berkata program tersebut sangat menyeronokkan kerana menyediakan pelbagai aktiviti menarik selain memberi peluang untuk bertemu rakan-rakan lama.
“Antara yang paling mencuri perhatian ialah persembahan daripada warga emas yang berjaya menghiburkan para peserta,” katanya.
Suasana program turut dilihat meriah dengan penyertaan masyarakat pelbagai peringkat usia yang hadir memeriahkan aktiviti sepanjang program berlangsung.
-RI





