Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Taman Eko Rimba Sungai Gabai Masih Ditutup, Kos Baik Pulih Terlalu Tinggi

By 14 Mei 2026Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)/Instagram IzuanKasim

SHAH ALAM, 14 Mei (MalaysiaAktif) – Taman Eko Rimba (TER) Sungai Gabai yang terkenal sebagai antara lokasi rekreasi air terjun popular di Selangor masih ditutup kepada orang awam susulan kerosakan serius akibat fenomena kepala air dan banjir besar pada Disember 2021.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Azhar Ahmad berkata kejadian yang berlaku serentak dengan banjir besar Lembah Klang pada 18 Disember 2021 itu menyebabkan pelbagai kemudahan di kawasan rekreasi berkenaan rosak teruk.

Menurutnya, antara kerosakan dikenal pasti termasuk kemusnahan keseluruhan jambatan penghubung utama, kerosakan tangga simen dan wakaf rehat selain perubahan landskap dasar sungai serta batuan yang kini berada dalam keadaan tidak stabil dan berbahaya.

“Atas faktor keselamatan serta risiko kepada pengunjung, kawasan TER Sungai Gabai masih ditutup sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata sebelum penutupan, kawasan rekreasi yang terletak di Kompartmen 53, Hutan Simpan Ulu Langat berhampiran Kampung Sungai Lui itu menerima antara 500 hingga 1,000 pengunjung setiap hujung minggu.

Katanya, kawasan berkenaan sebelum ini dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk laluan simen dan tangga, wakaf rehat, tandas awam, surau, gerai serta kawasan parkir.

Azhar berkata, pengurusan kawasan rekreasi itu telah diserahkan kepada komuniti setempat melalui Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Sungai Gabai sejak 2006, dengan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor sebagai pemilik kawasan manakala Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) menyediakan infrastruktur asas serta kemudahan awam.

Tambahnya, keadaan semasa TER Sungai Gabai kini dilihat terbiar berikutan kos baik pulih dan pembangunan semula yang amat tinggi serta di luar kemampuan pihak JPKK mahupun jabatan untuk dilaksanakan secara menyeluruh.

Bagaimanapun, JPNS katanya berhasrat membangunkan semula kawasan rekreasi itu dan perkara tersebut akan dibincangkan bersama pihak Exco Kerajaan Negeri Selangor sebelum dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor.

-AA-

Tinggalkan komen anda