
Laporan/foto: Sharil Alias/Muhammad Farhan Abdullah (Negeri Sembilan)
SEREMBAN, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Inisiatif Bakat MADANI menyasarkan seramai 25,000 penerima menerima manfaat menjelang 2027 menerusi latihan kemahiran, pensijilan profesional dan penempatan pekerjaan berkualiti dalam sektor strategik negara.
Menurut Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, inisiatif tersebut menumpukan kepada pembangunan kemahiran, penyediaan pekerjaan berkualiti serta peningkatan mobiliti sosial.
“Pendedahan peluang dalam program ini mencecah kira-kira 25,000 orang. Jadi anak-anak jangan lupa, nyatakan penghargaan kepada badan korporat yang sudi membantu menguruskan dengan baik.
“Kalau mereka tidak mengurus dengan baik, jadi tidak dapat program ini dilakukan kerana pembiayaan itu pembiayaan mereka, bukan pembiayaan saya. Ini yang disebut Bakat MADANI,” katanya pada Majlis Peluncuran Bakat MADANI, di sini semalam.
Program pembangunan bakat itu menghimpunkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam memperkasakan pembangunan bakat negara.
Sementara itu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata inisiatif itu diwujudkan bagi memastikan bakat rakyat dapat dipadankan dengan peluang pembangunan kerjaya yang bersesuaian.
“Tanggungjawab kita adalah membina jambatan yang menghubungkan bakat tersebut dengan peluang yang tersedia, dan itulah matlamat utama Bakat MADANI.
Majlis pelancaran yang berlangsung di Bandar Sri Sendayan itu dihadiri lebih 700 peserta termasuk barisan Menteri, Ketua-Ketua Setiausaha Kementerian, kepimpinan GLIC, GLC dan PETRONAS.
-RI





