
Laporan/foto: Herlina Zakaria/Hazlina Tajuddin (Selangor)
SHAH ALAM, 16 Jun (MalaysiaAktif) – Orang ramai diminta supaya tidak membuat sebarang permohonan atau tindakan berkaitan Program Baucar KitaSelangor buat masa ini kerana program berkenaan masih belum dibuka untuk permohonan umum.
Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dalam kenyataan hari ini memaklumkan penerima yang layak akan menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) secara berperingkat bermula 23 Jun ini bagi tujuan pengesahan maklumat dan mengemukakan permohonan melalui Portal Baucar KitaSelangor berserta dokumen sokongan yang diperlukan.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menunggu pengumuman rasmi Kerajaan Negeri yang akan dibuat pada 22 Jun 2026 sebelum membuat sebarang tindakan berkaitan program ini,” menurut kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan negeri turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang SMS atau mesej yang mengandungi pautan mencurigakan serta tidak menekan pautan yang diterima daripada sumber tidak sah bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan dalam talian.
“Sebarang maklumat lanjut mengenai Program Baucar KitaSelangor akan diumumkan melalui saluran rasmi kerajaan negeri Selangor dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor Fasa 1 bagi memperkukuh ekonomi negeri susulan ketidaktentuan global dan konflik Timur Tengah.
Menurut Amirudin, lebih RM140 juta diperuntukkan bagi melaksanakan tujuh inisiatif hasil sesi libat urus bersama pakar sosioekonomi, geopolitik, industri dan tenaga sejak April lalu.
Program tersebut akan dilaksanakan secara bersasar kepada kumpulan penerima yang telah dikenal pasti berdasarkan data serta senarai yang dibekalkan oleh agensi-agensi berkaitan.
Antara kumpulan yang terlibat ialah isi rumah miskin dalam pangkalan data eKasih, pekerja yang diberhentikan kerja, golongan rentan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta ibu tunggal yang memenuhi syarat kelayakan ditetapkan.
-AA-







