Skip to main content
Berita TempatanSabah

Generasi Muda Julang Seni Melalui Sugandoi dan Ginggiliton

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/Foto: Sunday Grace Justimus/Penganjur Pesta Kaamatan Kampung Terawi (Penampang)

PENAMPANG, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Biarpun Pesta Kaamatan sudah berlalu penganjuran pertandingan seni suara Sugandoi dan Unduk Ngadau Ginggiliton masih disambut meriah oleh generasi muda.

Juara Sugandoi Songkotoun 2026, Lea Zoey Ojik, 20, menyifatkan pertandingan ini memainkan peranan penting bagi menanam minat generasi muda terhadap lagu-lagu tradisional sekali gus memartabatkan bahasa ibunda etnik di Sabah.

“Pertandingan Sugandoi Songkotoun misalnya penting bagi memperkenalkan lagu-lagu tradisional kepada generasi muda dan peserta bukan sahaja berpeluang menghayatinya malah dapat mempelajari bahasa ibunda serta memahami nilai budaya yang terkandung dalam setiap persembahan.

“Pertandingan yang mengetengahkan lagu-lagu Songkotoun membantu memastikan warisan budaya dan bahasa masyarakat Kadazandusun Murut Rungus (KDMR) terus dikenali dan dihargai oleh generasi akan datang,” jelasnya ketika ditemui semasa Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Terawi Penampang Sabtu lepas.

Sementara itu juara Unduk Ngadau Ginggiliton, Aurora Afra Cyril, 14, berkata pertandingan berkenaan menyerlahkan lagi adab serta kesopanan yang wajar disemai sebagai jati diri anak muda khasnya golongan wanita.

“Pertandingan ini sewajarnya diteruskan kerana menjadi platform terbaik dengan memberi peluang kepada remaja perempuan berusia mengenali serta mendalami warisan budaya, bahasa etnik sekali gus menjadi contoh pribadi yang sopan sebagai wanita yang mempertahankan kebudayaan bangsa masing-masing,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Kampung Terawi, Augustine Jintoni berharap program seumpama itu akan diteruskan bagi memperkukuh perpaduan komuniti serta memastikan warisan seperti seni suara dan sukan tradisi terus terpelihara.

“Penglibatan pelbagai lapisan masyarakat ini mencerminkan semangat kerjasama serta perpaduan yang ingin kami tonjolkan dan saya juga berharap Dewan Kampung Terawi suatu hari nanti mempunyai nama rasmi yang boleh menjadi simbol identiti dan kebanggaan penduduk kampung.

“Acara sukan tradisi yang dianjurkan pada tahun ini juga dibuka secara percuma tanpa sebarang yuran penyertaan bagi memberi peluang kepada lebih ramai penduduk untuk mengambil bahagian dan menikmati kemeriahan sambutan bersama-sama,” katanya.

-RJ-

Tinggalkan komen anda