
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Petaling)
SUBANG JAYA, 8 Jun (MalaysiaAktif) – Kerajaan Negeri Selangor secara rasmi memulakan Program Jelajah Wanita Berdaya Tahan Selangor 2026 di Zon Petaling yang berlangsung di Dewan Serbaguna MBSJ SS15, di sini kelmarin.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari, berkata inisiatif itu merupakan langkah proaktif memperkukuh agenda pemerkasaan wanita secara inklusif dan dekat dengan masyarakat.
Menurut beliau, program tersebut bertujuan memastikan setiap inisiatif kebajikan serta pembangunan wanita dapat disampaikan terus kepada kumpulan sasar di seluruh negeri.
Katanya, penganjuran jelajah itu membuktikan komitmen kerajaan negeri memperluaskan akses kepada peluang pekerjaan, bantuan sosial, perlindungan, kesihatan dan pembangunan wanita.

Petugas reruai sebuah agensi sedang menerangkan sesuatu kepada Anfaal.
Beliau, berkata pelaksanaan di Zon Petaling memberi tumpuan kepada Dasar Wanita Selangor serta Dasar Ekonomi Penjagaan yang memfokuskan pengukuhan ekonomi dan kerjaya.
“Program ini menampilkan Karnival Kerjaya Wanita dan Career Comeback yang dirangka khusus membantu wanita kembali ke pasaran pekerjaan serta meningkatkan kemahiran,” katanya kepada media selepas merasmikan program Jelajah Wanita Berdaya Tahan Zon Petaling.
Tambah beliau, kerjasama strategik bersama agensi seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) turut menyediakan peluang pekerjaan selain program kesihatan Selangor Saring serta pameran agensi.
Menurut Anfaal, daripada 69 pencari kerja yang hadir setakat hari program berlangsung, seramai 16 berjaya memperoleh pekerjaan termasuk 10 wanita.
Beliau turut memaklumkan kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi menyokong pelaksanaan program berkaitan warga emas melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih.
Katanya, jelajah itu akan diteruskan ke empat zon lain iaitu Hulu Langat, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Selangor, sekali gus memperkukuh daya tahan wanita, keluarga dan komuniti.
-RI




