
Laporan/foto: Mohd Ariff Ishak (Selangor)
SHAH ALAM, 29 Jun (MalaysiaAktif) – Karnival Kesihatan BeSIHAT 2026 berjaya meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengesanan awal penyakit, khususnya penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi dan obesiti yang semakin membimbangkan.
Doktor bertugas Dr. Wan Muhammad Helmi Wan Abdul Rahman Jauhari ketika ditemui Malaysia Aktif berkata karnival tersebut merupakan program tahunan pelajar perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi swasta sebagai projek akhir tahun mereka.
“Aktiviti ini sangat bagus sebab ia memberi kesedaran kepada komuniti serta menggalakan mereka untuk lakukan saringan kesihatan.
“Saya berharap supaya aktiviti seperti ini diteruskan dalam komuniti kerana ia dapat memberi kesedaran tentang bahayanya penyakit-penyakit dan pentingnya membuat saringan pemeriksaan kesihatan awal,” katanya, di sini kelmarin.

Karnival Kesihatan BeSIHAT 2026 berjaya menarik penyertaan pelbagai peringkat lapisan masyarakat melalui aktiviti-aktiviti yang disediakan.
Penganjuran Karnival Kesihatan BeSIHAT 2026 diadakan bagi memupuk budaya hidup sihat, memperkukuh kesedaran kesihatan dalam kalangan masyarakat serta mengeratkan hubungan komuniti melalui aktiviti yang disediakan.
Selain saringan kesihatan percuma, karnival berkenaan turut menawarkan aktiviti senamrobik komuniti, demonstrasi masakan sihat, pameran dan forum kesihatan, pertandingan mewarna, cabutan bertuah serta permainan ‘Supa Dupa’ dan e-sukan.
Kehadiran ramai pengunjung khususnya dari penduduk setempat turut mencerminkan minat masyarakat terhadap program kesihatan berasaskan komuniti yang menawarkan manfaat terus kepada penduduk sambil menggalakkan gaya hidup sihat secara menyeluruh.
-RI




