Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

Pemimpin Masyarakat Perlu Sabar, Perkukuh Penyampaian Agenda Pembangunan Negara

By 50 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Zurina Saad (Kuala Muda)

SUNGAI PETANI, 9 Jun (MalaysiaAktif) – Pemimpin masyarakat perlu memiliki tahap kesabaran yang tinggi serta terus komited mendukung agenda pembangunan negara bersama Kerajaan MADANI dalam mendepani pelbagai cabaran dan persepsi semasa.

Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkata walaupun berhadapan dengan pelbagai tohmahan dan kritikan, para pemimpin perlu terus melaksanakan amanah yang diberikan rakyat dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran demi memastikan agenda pembangunan negara dapat direalisasikan.

“Untuk membangunkan negara, ia lebih mencabar dan sukar serta lebih menuntut kesabaran dan kebijaksanaan. Kesabaran ini dituntut dalam al-Quran dan ia bukan mudah.

“Hendak bersyarah ikut mulut, melemparkan makian memang mudah. Misalnya mengenai Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), saya kena maki teruk, tetapi dahulu PAS dan Bersatu juga menyokong pengiktirafan UEC, apa bezanya dengan sekarang?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Negeri Kedah yang berlangsung di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Sungai Petani, kelmarin.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa pemimpin masyarakat perlu mempunyai maklumat yang tepat dan mencukupi, selain memahami kaedah terbaik untuk menyampaikan dasar serta inisiatif kerajaan kepada rakyat supaya segala usaha pembangunan dapat difahami dengan jelas.

Anwar turut mengingatkan kepentingan memperkukuh institusi kekeluargaan serta melengkapkan generasi muda dengan kemahiran dalam bidang dan teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI), agar mereka mampu bersaing pada masa hadapan.

Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa penguasaan teknologi perlu diseimbangkan dengan nilai murni, akhlak dan pegangan agama.

-FN

Tinggalkan komen anda