Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanNegeri Sembilan

#ProjekTogetherBoleh Bantu Pengurusan Pembiakan Haiwan Terbiar Secara Berstruktur

By 57 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Jaitripta Kaur/Muhammad Badri Ishak (Seremban)

SEREMBAN, 8 Jun (MalaysiaAktif) –Inisiatif baharu dalam pengurusan populasi haiwan terbiar diperkenalkan menerusi pelancaran kempen #ProjekTogetherBoleh, yang diiktiraf sebagai program pencegahan nasional pertama di Malaysia dalam pengurusan pembiakan haiwan terbiar secara berstruktur dan berlandaskan sains.

Kempen yang berlangsung dengan kerjasama Millennia Village itu memperkenalkan pendekatan Perangkap, Pengebiri, Vaksin, Lepaskan dan Urus (TNVRM) sebagai alternatif lebih berperikemanusiaan bagi menggantikan kaedah penangkapan dan pelupusan konvensional yang didapati kurang berkesan dalam menangani isu populasi haiwan jalanan untuk jangka panjang.

Pengerusi Happy Paws, Jude Ignatius Lazaroo, berkata fokus utama kempen kali ini adalah untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan fasa melepaskan semula haiwan terbiar seperti kucing dan anjing ke habitat asal komuniti mereka selepas menjalani proses TNVRM.

Menurut beliau, langkah berkenaan sering menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat, namun panel penyelidik kempen menegaskan bahawa pendekatan tersebut mempunyai asas saintifik yang kukuh serta terbukti berkesan dalam mengawal populasi haiwan terbiar secara mampan.

“Kaedah ini bukan sahaja membantu mengawal pembiakan haiwan jalanan, malah memastikan kesejahteraan haiwan terus terpelihara tanpa menjejaskan keseimbangan ekosistem komuniti setempat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran kempen itu, di sini semalam.

Sementara itu, pihak penganjur turut menyeru orang ramai serta persatuan penduduk supaya menyokong usaha berkenaan dengan bekerjasama bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dalam memantau haiwan yang telah melalui proses TNVRM.

Haiwan yang telah menjalani prosedur tersebut lazimnya dikenal pasti menerusi tanda potongan kecil pada hujung telinga , yang berfungsi sebagai pengenalan bahawa haiwan berkenaan telah disteril, divaksin dan didaftarkan di bawah program pengurusan komuniti.

Turut hadir pada program berkenaan ialah pemilik Millennia Village Gabriel Hii dan Presiden Furrykids Safe Haven Jeskiran Kaur Bhat.

Kempen #ProjekTogetherBoleh diharap dapat menjadi model pengurusan populasi haiwan terbiar yang lebih sistematik, berperikemanusiaan dan mampan untuk dilaksanakan di seluruh negara.

-RI

Tinggalkan komen anda