Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Raja Muda Selangor Berkenan Rasmi Bangunan Baharu PPD Sabak Bernam

By 9 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad (Sabak Bernam)

SABAK BERNAM, 5 Jun (MalaysiaAktif) – Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan mencemar duli merasmikan bangunan baharu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sabak Bernam bernilai RM16.93 juta sempena Program Gagasan Rumpun Selangor di sini, semalam.

Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor, Ir. Shukri Ishak, berkata bangunan tersebut berjaya disiapkan sepenuhnya pada 19 Mac 2026 dan mengetengahkan konsep Industrial Design yang memberikan identiti visual unik, segar dan moden kepada bangunan di bawah portfolio Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Bangunan ini merupakan bangunan PPD pertama di Malaysia yang menggunakan konsep Industrial Design bagi reka bentuk dalaman konvensional,” katanya ketika menyampaikan sembah taklimat di hadapan Tengku Amir Shah sempena Majlis Perasmian PPD Sabak Bernam.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Daerah Sabak Bernam, Marhani M. Haniff, berkata PPD Sabak Bernam mula beroperasi pada tahun 1982 di Sekolah Kebangsaan Seri Makmur, Sungai Besar sebelum sebelum berpindah ke beberapa lokasi lain berikutan pertambahan jumlah murid serta keperluan operasi yang semakin meningkat.

Katanya, PPD Sabak Bernam kemudiannya berpindah ke tapak sedia ada pada tahun 2013, namun bangunan sementara yang digunakan mula uzur selepas beberapa tahun sekali gus memerlukan pembinaan premis kekal yang lebih selesa dan kondusif.

“Alhamdulillah, usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila pembinaan bangunan kekal ini diluluskan pada tahun 2016 dan projek dilaksanakan oleh JKR Sabak Bernam,” katanya.

Bangunan baharu tersebut telah diserahkan kepada KPM pada 18 Mei lalu dan kini mula beroperasi sepenuhnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda