
Laporan/foto: Muhammad Azrul Hafiz (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 8 Jun (Malaysiaaktif) — Sebanyak RM22.84 juta atau hampir 70 peratus daripada Dana Inovasi Media telah diluluskan bagi memanfaatkan 68 organisasi media yang berdaftar di bawah Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), setakat ini.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata ia merangkumi pelaksanaan Fasa satu hingga Fasa empat, manakala baki dana berkenaan akan diagihkan melalui permohonan Fasa lima kelak.
“Dana ini memfokuskan kepada empat sektor utama industri iaitu latihan tenaga kerja media, adaptasi perisian dan teknologi terkini dalam operasi bilik berita, penyediaan perkakasan dan fasiliti sokongan yang moden, serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) kandungan berasaskan fakta.
“Latihan Tenaga Kerja Media kekal sebagai komponen wajib, sejajar dengan komitmen Kerajaan untuk memperkukuh pembangunan modal insan dalam industri media,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kuala Lumpur International Public Relation (KLIP 8) , di sini semalam.
Menyentuh mengenai program bertemakan “Raising Digital Citizens, Not Digital Casualties” (Membentuk Warganegara Digital, Bukan Mangsa Digital), Teo berkata ia muncul sebagai platform penting dalam memajukan amalan komunikasi yang beretika, berkesan dan berorientasikan masa depan.
“Sebagai pengamal komunikasi, tanggungjawab kita bukan sekadar menyampaikan mesej. Kita turut berperanan membentuk pemahaman, memupuk kepercayaan dan membantu masyarakat menavigasi dunia yang semakin kompleks.
“Dalam era penyebaran maklumat palsu yang begitu pantas serta kemajuan teknologi yang sentiasa berkembang, komitmen terhadap etika, akauntabiliti dan kebenaran menjadi semakin penting dan tidak boleh dikompromi,” katanya.
-FN





