
Laporan/Foto: Hamidah Len/KPSTI (Sabah)
KOTA MARUDU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap murid mempunyai peluang menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata kejohanan sukan di peringkat sekolah merupakan asas penting melahirkan atlet yang berpotensi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kecemerlangan murid hari ini tidak lagi diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata.
“Sebaliknya, kita mahu melahirkan generasi yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek (JERI) dengan sukan menjadi antara wahana terbaik membentuk sahsiah, disiplin dan daya tahan,” katanya Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu Tahun 2026, semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Justinus Jalang.
Menurut James, kerajaan negeri terus komited memperkukuhkan pembangunan sukan sekolah sebagai platform mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin, berdaya saing dan seimbang selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia.
“Pembangunan sukan masa kini perlu bergerak seiring dengan kemajuan sains, teknologi dan inovasi melalui penerapan elemen sains sukan, pemakanan, psikologi sukan, analisis prestasi serta teknologi latihan bagi meningkatkan prestasi atlet.
“Cabaran geografi Sabah tidak boleh menjadi penghalang kepada kejayaan anak-anak kita. Sebaliknya, daerah seperti Kota Marudu mempunyai potensi besar melahirkan atlet berbakat yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha itu disokong menerusi Landskap Baharu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang memberi penekanan terhadap kesaksamaan peluang pendidikan dan pembangunan bakat antara kawasan bandar dan luar bandar.
Di samping itu, beliau juga menggesa para atlet muda supaya bertanding dengan semangat kesukanan, berintegriti dan menghormati peraturan pertandingan.
“Saya yakin suatu hari nanti akan lahir daripada kejohanan seperti ini atlet yang mampu mengharumkan nama Kota Marudu, Sabah dan Malaysia di pentas Sukan SEA, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik,” katanya.
Hadir sama, Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Halim Bidin @ Bibin dan Pengetua SMK Bandau, Richard Samie Kiou.
-RJ-




