Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

SPR Keluar 24,667 Kertas Undi Pos Bagi PRN Johor

By 6 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Syamilah Yusman (Johor)/Media Digital Johor

JOHOR BAHRU, 30 Jun (MalaysiaAktif) – Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mengeluarkan sebanyak 24,667 kertas undi pos kepada pengundi yang layak mengundi secara pos bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Setiausaha SPR Datuk Khairul Shahril Idrus berkata pengeluaran kertas undi pos itu dilaksanakan mengikut Peraturan 3, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pengundian Pos) 2003 oleh petugas pilihan raya di semua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 23,288 kertas undi pos adalah bagi kategori Borang 1A melibatkan petugas pilihan raya, pegawai SPR, anggota polis, anggota tentera dan petugas media.

“Selain itu, sebanyak 1,044 kertas undi pos dikeluarkan bagi kategori Borang 1B untuk warganegara Malaysia yang menetap di luar negara, manakala 345 lagi bagi kategori Borang 1C yang melibatkan agensi dan organisasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, proses pengeluaran kertas undi pos itu dijalankan dengan kehadiran wakil calon daripada semua parti atau individu yang bertanding.

“Pengundi juga di ingatkan agar sentiasa menjaga kerahsiaan undi dengan tidak merakam gambar kertas undi pos atau menyebarkannya di media sosial,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pengundi pos supaya menandakan kertas undi, mengisi Borang Perisytiharan Identiti (Borang 2) dengan lengkap dan betul serta mengembalikannya kepada Pegawai Pengurus DUN masing-masing sebelum 5 petang pada hari pengundian, iaitu 11 Julai (Sabtu).

PRN Johor akan berlangsung 11 Julai ini manakala pengundian awal pada 7 Julai.

-RI

Tinggalkan komen anda