Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Lorong Susur Masa Hidupkan Kembali Nostalgia Kompleks Teruntum

By 4 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh.Nurrul (Pahang)

KUANTAN, 27 Jun (MalaysiaAktif) – Minat terhadap barangan klasik mendorong beberapa pengusaha dan pengumpul koleksi lama menghidupkan kembali nostalgia Kompleks Teruntum menerusi inisiatif Lorong Susur Masa, sekali gus memberi nafas baharu kepada lokasi yang pernah menjadi tumpuan masyarakat suatu ketika dahulu.

Pengusaha barangan klasik, Faizal Izwa Nawi, 45, berkata pemilihan Kompleks Teruntum sebagai lokasi jualan dan pameran bertujuan mengembalikan kenangan terhadap bangunan berkenaan yang pernah melalui zaman kegemilangannya.

“Kompleks Teruntum sangat dekat di hati saya kerana saya membesar ketika era kegemilangannya. Saya berharap usaha ini dapat mengimbau kenangan generasi terdahulu, selain memperkenalkan sejarah dan nostalgia itu kepada generasi muda,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, Rabu lepas.

Menurut Faizal, minat terhadap sejarah dan koleksi warisan sejak kecil mendorongnya bersara awal daripada kerjaya sebagai anggota badan beruniform untuk memberi tumpuan penuh kepada hobinya.

Kini, beliau memiliki lebih 1,000 koleksi barangan klasik dan antik termasuk radio, mesin jahit, majalah, buku lama, gambar bersejarah, perabot serta pelbagai artifak nostalgia.

Sementara itu, dua sahabat sejak kecil, Musaisha Nizam Mustapha dan Mohd Asri Zakaria, masing-masing berusia 46 tahun, turut berkongsi minat yang sama menerusi pembukaan Galeri SJIWA yang menampilkan koleksi permainan lama dan alat muzik.

Menurut Musaisha, kebanyakan koleksi di galeri itu telah disimpan sejak zaman kanak-kanak, manakala sebahagiannya berjaya dimiliki apabila dewasa.

“Sebelum ini kami hanya menyimpan koleksi di rumah. Apabila diwujudkan Lorong Susur Masa di Kompleks Teruntum, kami amat teruja kerana akhirnya ada ruang untuk berkongsi minat dan kenangan bersama orang ramai,” katanya.

Mereka merupakan antara pengusaha yang menjayakan Lorong Susur Masa di aras satu, Kompleks Teruntum yang diperkenalkan pada 2023 bagi menghimpunkan pelbagai koleksi barangan klasik dan artifak lama berkonsepkan nostalgia sebagai usaha menghidupkan kembali memori silam di bangunan ikonik tersebut.

-AA-

Tinggalkan komen anda