Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Tuanku Raja Perlis Seru Pemeliharaan Banjaran Nakawan Diperkasa

By 24 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 8 Jun (MalaysiaAktif) -Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah agar semua pihak  mempergiat usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan di sepanjang Banjaran Nakawan yang disifatkan sebagai khazanah negeri dan aset negara yang amat berharga.

Baginda bertitah Banjaran Nakawan bukan sekadar landskap hutan semula jadi, malah memiliki nilai biodiversiti, geologi, arkeologi dan warisan budaya yang perlu dipelihara demi kelestarian alam sekitar serta manfaat generasi akan datang.

“Sudah tiba masanya usaha lebih giat dilakukan dalam pengurusan hutan di sepanjang Banjaran Nakawan kerana ia bukan sekadar landskap hutan, tetapi merupakan khazanah Negeri Perlis yang sangat berharga dan aset negara yang wajar dipelihara dengan sebaiknya,” titah baginda.

Baginda turut berharap Nakawan Rainforest Festival dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang mampu menjadi tarikan utama eko-pelancongan negeri serta medium meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeliharaan hutan.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Nakawan Rainforest Festival sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perlis 2026 di Kompleks Eko-Pelancongan Sungai Batu Pahat, di sini, semalam.

Turut berangkat, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Tuanku Raja Perlis turut menyeru seluruh rakyat bersama-sama memainkan peranan dalam usaha memelihara dan menjaga hutan tanpa mengira latar belakang, status atau usia bagi memastikan kelestarian alam sekitar terus terpelihara.

“Pada masa sama, beta yakin Jabatan Perhutanan akan terus menerajui usaha pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah hutan negeri selaras dengan visinya untuk menjadi peneraju terunggul dalam pengurusan hutan tropika secara lestari,” titah Baginda.

-AA-

Tinggalkan komen anda