Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraKedah

2,200 Pelajar Kota Setar Perkasa Bantuan Kecemasan Awal

By 28 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Azian (Pendang)

ALOR SETAR, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Seramai 2,200 pelajar di daerah Kota Setar telah dilibatkan dengan latihan percuma Sokongan Hidup Asas (BLS) dan Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) sepanjang 2025 hingga tahun ini menerusi inisiatif Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi memperkasa pengetahuan masyarakat mengenai bantuan kecemasan awal.

Inisiatif itu terus diperkukuh menerusi penganjuran Program Larian Santai Run & Rescue di Hospital Sultanah Bahiyah di sini kelmarin yang disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, bersama Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Turut mengiringi keberangkatan baginda ialah Yang Teramat Mulia Tunku Zara Bahiyah Tengku Sarafudin Badlishah dan Yang Teramat Mulia Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.

Tengku Sarafudin bersama peserta Larian Santai Run & Rescue

Setiausaha program, Dr. Ahmad Fareez Roslan berkata pasukan BLS HSB melaksanakan latihan berkenaan secara percuma di sekolah-sekolah sekitar daerah Kota Setar sebagai usaha melahirkan lebih ramai individu yang mampu bertindak pantas ketika berdepan situasi kecemasan.

“Sepanjang tahun 2025 dan 2026, pasukan Community BLS telah melaksanakan program latihan secara percuma di sekolah-sekolah sekitar daerah Kota Setar dengan penglibatan kira-kira 2,200 pelajar.

“Pada program kali ini, demonstrasi Resusitasi Kardiopulmonari (CPR) yang diketuai oleh Dr. Zulfaqar Othman Thani itu turut melibatkan penyertaan pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, SMK Tunku Sofiah, SMK Alor Janggus, SMK Dato’ Wan Mohd Saman dan SMK Sultanah Asma,” ujarnya.

Menurutnya lagi, misi utama pasukan mereka adalah untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai teknik rawatan awal kecemasan yang betul supaya lebih ramai individu mampu bertindak pantas ketika berdepan situasi yang mengancam nyawa.

Program anjuran HSB itu bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah, malah menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ilmu bantuan kecemasan, khususnya kaedah Sokongan Hidup Asas dan CPR.

Turut hadir Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kedah Dr. Nor’ Aishah Abu Bakar, Pengarah Hospital Sultanah Bahiyah Dr. Fauziah Abdul Wahab, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah Dr. Jeremy Rodney Davies dan Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Sultanah Bahiyah Zainol Abidin Mohamad.

-RI

Tinggalkan komen anda