Skip to main content
Rencana & Pendapat

Kopi Cafe TDS: Secawan Kopi, Sejuta Harapan

By 16 minutes yang laluTiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Siti Aminah Abdullah/Norfatihah Abd Jamin (Kinta)

IPOH, 13 Jul (MalaysiaAktif) – Bermula dengan hasrat menyediakan pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar, Kopi Cafe TDS di bawah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tasek Damai menjadi platform melahirkan Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) yang lebih berkeyakinan, berkemahiran dan bersedia melangkah ke alam pekerjaan.

Ketua Projek Nur Natasha Aznam, 39, berkata idea penubuhan Kopi Cafe TDS tercetus bagi menyediakan ruang kepada murid mempelajari kemahiran transisi kerjaya dalam suasana kerja sebenar.

“Projek itu direalisasikan hasil sumbangan Geran One-Off Sekretariat Pembangunan Wanita dan Masyarakat Negeri Perak bagi pembelian mesin kopi dan kelengkapan kafe sebelum mula beroperasi secara rasmi pada 29 Oktober tahun lalu.

“Objektif utama penubuhan Kopi Cafe TDS adalah untuk meningkatkan kemahiran murid, membina keyakinan diri serta menyediakan ruang pembelajaran berasaskan pengalaman sebenar sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan, sekali gus melahirkan generasi yang lebih berdikari dan sejahtera,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, bagi kohort tahun ini, seramai 10 orang murid PPKI berusia 18 hingga 19 tahun daripada kategori Bermasalah Pembelajaran dan Murid Pendengaran telah dipilih menyertai program ini.

Seorang pelajar sedang tekun menyediakan minuman kopi yang ditempah pelanggan.

“Mereka menjalani latihan selama empat hingga enam minggu selain mengikuti kursus dan bengkel barista melalui kolaborasi bersama Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK) dan Kolej Komuniti Chenderoh.

“Di bawah bimbingan saya dan pasukan guru PPKI, murid diberi pendedahan secara berperingkat agar lebih bersedia menghadapi alam pekerjaan sebaik menamatkan persekolahan,” katanya.

Selain mempelajari penyediaan kopi dan asas barista, murid turut didedahkan kepada pengurusan kewangan, reka bentuk logo, penyediaan tempahan, penghantaran minuman serta pengurusan operasi kafe yang beroperasi lima hari seminggu untuk warga sekolah dan ibu bapa.

Menurut Guru Pembimbing Transisi Kerjaya Suhana Suffian, 44, kejayaan paling membanggakan ialah apabila murid berjaya membina keyakinan diri untuk berinteraksi dengan pelanggan serta menghasilkan kopi yang setanding dengan kualiti di pasaran sehingga mampu menjalankan jualan di luar kawasan sekolah.

“Kami berharap Kopi Cafe TDS bukan sekadar menjadi tempat latihan, tetapi menjadi jambatan kepada murid untuk berdikari, memperoleh peluang pekerjaan dan membina masa depan yang lebih baik.

“Kami juga ingin membuktikan bahawa murid pendidikan khas mempunyai potensi besar sekiranya diberi peluang, bimbingan dan kepercayaan,” katanya.

Tambah Suhana lagi, Kopi Cafe TDS telah menerima lawatan daripada pelbagai pihak termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), sekolah-sekolah serta agensi berkaitan.

Malah, projek ini turut dipilih sebagai rakaman kisah kejayaan penerima Geran Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat Perak Sejahtera 2030 Tahun 2025.

-RI

Tinggalkan komen anda