
Laporan/foto: Iswandi Kassim (Sri Aman)
SRI AMAN, 1 Julai (MalaysiaAktif) –Seramai 540 pemilik tanah di Bahagian Sri Aman menerima Warta Rizab Komunal Bumiputera dan Surat Hak Milik Tanah sebagai usaha Kerajaan Sarawak memastikan pemilikan tanah yang sah serta memberi manfaat kepada penduduk luar bandar.
Daripada jumlah tersebut, seramai 72 pemilik menerima warta di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak manakala 468 pemilik lagi menerima 620 surat hak milik tanah di bawah Seksyen 18 kanun sama yang disempurnakan oleh Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.
Menurut Awang Tengah, kerajaan sentiasa memberi keutamaan kepada usaha mempercepatkan proses pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah walaupun pelaksanaannya berdepan cabaran berikutan keluasan kawasan serta faktor geografi negeri ini.
“Kerajaan komited mempercepatkan proses pengukuran dan pengeluaran hak milik tanah, namun kejayaannya memerlukan kerjasama semua pihak, khususnya pemilik tanah dalam menentukan sempadan tanah masing-masing,” katanya.
Beliau berharap masyarakat memahami cabaran pelaksanaan proses itu serta tidak mudah terpengaruh dengan pihak yang cuba memanipulasi isu tanah bagi mengelakkan kekeliruan, selain memaklumkan sebanyak 82,639 hektar kawasan di bawah Seksyen 6 telah diukur dengan 57,548 hektar berjaya diwartakan manakala 7,261 lot selesai diukur di bawah Seksyen 18 bagi menjamin kepentingan rakyat.
-RJ-




