
Laporan/foto: Maznah Ngah/Ahmad Syafri Husnaini (Terengganu)
HULU TERENGGANU, 21 Jul (MalaysiaAktif) – Projek Pembangunan Jeti Tambatan Bot, Pengkalan Utama merupakan inisiatif strategik kerajaan bagi menyediakan kemudahan tambatan bot yang lebih moden, tersusun dan selamat.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) Dato’ Rozi Mamat berkata ia sekali gus meningkatkan kecekapan operasi pengusaha bot laju serta rumah bot yang menjadi nadi industri pelancongan Tasik Kenyir.
“Projek ini bukan sekadar menyediakan kemudahan tambatan bot yang lebih sistematik, malah meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan dan kecekapan operasi pengusaha bot, selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK -13) yang menekankan pembangunan ekonomi inklusif, berdaya tahan dan mampan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Jeti Tambatan Bot, Pengkalan Utama, Tasik Kenyir, di sini semalam.

Simbolik perasmian Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Jeti Tambatan Bot, Pengkalan Utama, Tasik Kenyir.
Turut diadakan Majlis Penyerahan Projek Membina dan Menyiapkan Kerja-kerja Pengukuhan Tebing dan Tambatan Rumah Bot.
Menurutnya, kejayaan menyiapkan projek tersebut membuktikan komitmen tinggi semua pihak termasuk kontraktor, perunding dan KETENGAH dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut perancangan.
Katanya lagi, KETENGAH sentiasa memastikan setiap projek pembangunan mengambil kira aspek keselamatan, pemeliharaan alam sekitar dan keseimbangan ekosistem supaya manfaatnya dapat dinikmati oleh generasi akan datang.
Projek bermula pada 2023 dan siap pada 6 Julai lalu itu dijangka mampu menyelesaikan secara berperingkat isu penempatan bot yang tidak tersusun di sekitar Pengkalan Gawi, sekali gus mewujudkan sistem pengurusan bot yang lebih teratur, meningkatkan tahap keselamatan dan memperkukuh imej Tasik Kenyir sebagai destinasi ekopelancongan bertaraf antarabangsa.
-RI




