Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Program Komuniti Hijau Diperluas Ke Semua Jabatan

By 22 seconds yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norshazila Ahmad/PDTSB (Sabak Bernam)

SUNGAI BESAR, 27 Jul (MalaysiaAktif) – Program Komuniti Hijau Sabak Bernam akan diperluaskan ke semua jabatan dan agensi di daerah ini bermula tahun hadapan bagi memperkukuh usaha kelestarian alam sekitar menerusi pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak.

Pegawai Daerah Sabak Bernam, Ali Sadikin Sadin berkata langkah itu bertujuan memastikan agenda komuniti hijau terus diperkasa melalui penglibatan jabatan kerajaan, institusi pendidikan, pihak swasta serta masyarakat setempat.

“Mulai tahun hadapan kita akan panjangkan aktiviti ini ke semua jabatan dalam daerah. Kita mahu semua jabatan, termasuk penerangan, pendidikan, kesihatan dan majlis, bergerak bersama dengan semangat komuniti hijau,” katanya pada Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 di Tonggak 10, di sini kelmarin.

Beliau berkata usaha berkenaan penting memandangkan Sabak Bernam mempunyai kekayaan sumber semula jadi yang perlu dipelihara, dengan hampir 40 peratus keluasan daerah terdiri daripada Hutan Simpan Kuala Bernam, selain 34 peratus kawasan pertanian dan 12 peratus kawasan sawah padi.

Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri Datuk Ng Suee Lim berkata penglibatan institusi pendidikan dalam Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 mampu membudayakan amalan hijau dalam kalangan generasi muda serta meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar.

“Daerah ini mempunyai biodiversiti dan ekologi yang masih terpelihara serta menjadi antara khazanah alam penting di utara Selangor,” katanya.

Program Komuniti Hijau Sabak Bernam 2026 yang bertemakan Transformasi Hijau Pendidikan Bersama Komuniti berlangsung sejak 1 Mac lalu hasil kerjasama Politeknik Sultan Idris Shah dan Pejabat Daerah dan Tanah Sabak Bernam.

Program itu menampilkan pelbagai pengisian termasuk Green Healthy Fun Run, Green Explorace, Green Mind Challenge, pertandingan inovasi, saringan kesihatan, pengumpulan sisa elektronik (e-waste), minyak masak terpakai serta program pendidikan alam sekitar yang melibatkan agensi kerajaan, institusi pendidikan dan komuniti.

-FN

Tinggalkan komen anda