Skip to main content
Berita TempatanSarawak

Giam Pasang Berpotensi Jadi Destinasi EkoPelancongan Baharu Belaga

By 32 minutes yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Evelyn Lungan (Belaga)

BELAGA, 23 Jul (MalaysiaAktif) – Kawasan jeram Giam Pasang di hulu Sungai Belaga berpotensi muncul sebagai destinasi ekopelancongan baharu Sarawak sekiranya dipromosikan secara meluas serta disokong pembangunan kemudahan asas mesra alam.

Terletak kira-kira 30 minit menaiki bot dari Pekan Belaga, destinasi ini menawarkan pengalaman menyusuri sungai yang dikelilingi hutan menghijau sebelum tiba di kawasan jeram yang terkenal dengan landskap semula jadi menawan.

Pegawai Daerah Belaga, Bidah Lujah berkata lokasi rekreasi itu mempunyai kelebihan tersendiri bagi menarik minat pengunjung yang menggemari keindahan alam semula jadi.

“Giam Pasang mempunyai potensi untuk menjadi lokasi rekreasi yang menarik kerana menawarkan pengalaman menikmati alam semula jadi,” katanya ketika ditemui Malaysia Aktif, semalam.

Menurut Bidah, pembangunan kawasan tersebut perlu dilaksanakan secara terancang dengan mengekalkan keseimbangan antara kemudahan pelancongan dan pemeliharaan alam sekitar supaya keasliannya terus terpelihara.

Bagi penduduk tempatan, Giam Pasang sememangnya popular dan sering menjadi pilihan utama untuk aktiviti rekreasi hujung minggu seperti berkelah dan memancing ikan sungai.

Malah, keindahan topografi kawasan itu juga amat sesuai dijadikan tapak perkhemahan, fotografi alam serta pelaksanaan program ekopelancongan berasaskan komuniti.

Keunikan Giam Pasang bukan sahaja memperkayakan produk pelancongan Belaga, bahkan berupaya merancakkan ekonomi setempat menerusi peningkatan kehadiran pelancong dalam dan luar Sarawak pada masa depan.

-RJ-

Tinggalkan komen anda