
Laporan/foto: Salleh Immun/Ambrose Wennanddo (Mukah)
MUKAH, 1 Julai (MalaysiaAktif) – Usaha membanteras penyalahgunaan dadah memerlukan kerjasama semua pihak termasuk keluarga, sekolah, agensi kerajaan dan komuniti, kata Pengerusi SKUAD Antidadah Negeri Sarawak Royston Valentine.
Beliau berkata pendidikan pencegahan penting untuk diterapkan sejak usia muda supaya anak-anak mampu membuat keputusan yang bijak apabila berdepan pelbagai cabaran.
“Pendidikan awal berkaitan bahaya dadah amat penting bagi melahirkan generasi yang berdaya tahan, berintegriti dan memiliki nilai kepimpinan tinggi,” katanya ketika menyempurnakan Kem Pintar 2.0 Bahagian Mukah 2026 dan Program Permata Keluarga, di sini semalam.
Kem selama dua hari yang berlangsung pada 29 hingga 30 Jun itu dianjurkan oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Mukah dengan kerjasama SKUAD Antidadah Negeri Sarawak, Saberkas Cawangan Tellian, Pertubuhan Belia Parlimen Mukah, Ajakcut dan Pejabat Pendidikan Daerah Mukah.
Seramai 100 murid Tahap Dua daripada sembilan buah sekolah di Bahagian Mukah menyertai program yang diadakan di Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Petanak, di sini.
-RJ-





