Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Kendurian Semarak MADANI 2026 Promosi Balik Pulai Sebagai Destinasi Agropelancongan

By 20 jam yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mawarni Ismail/Firdaus Rashid (Barat Daya)

BALIK PULAU, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Program Kendurian Semarak MADANI 2026 dapat membantu mempromosikan Balik Pulau sebagai destinasi agropelancongan yang terkenal dengan durian berkualiti, kata Pegawai Penyelaras Kawasan Ahli Dewan Undangan Negeri (KADUN) Pulau Betong Mohd Tuah Ismail.

“Program seperti ini bukan sekadar meraikan musim durian, malah menjadi platform mengukuhkan hubungan antara rakyat, agensi kerajaan dan sektor swasta melalui kerjasama strategik yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya pada program yang menghimpunkan hampir 1,000 penduduk pelbagai kaum, di sini kelmarin.

Pegawai Daerah Barat Daya Datuk Rosli Halim (kanan), turut sama hadir memeriahkan program.

Anjuran Pejabat KADUN Pulau Betong dengan kerjasama S&D Tama (M) Sdn. Bhd. (Toyota Pulau Pinang), program diadakan bersempena penghujung musim durian bagi menghargai penduduk sekitar Balik Pulau yang terkenal sebagai antara pengeluar durian berkualiti di negara ini.

Sementara itu, Ketua Komuniti MADANI Pekan Balik Pulau Ooi Seng Lai, menyifatkan program ini sebagai platform terbaik dalam memperkukuh semangat perpaduan apabila berjaya menghimpunkan masyarakat berbilang kaum tanpa mengira latar belakang.

Menurut beliau, sambutan yang diterima membuktikan program berasaskan komuniti terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat kerana bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah menyemai nilai kebersamaan dan keharmonian.

Selain menikmati pelbagai jenis durian tempatan, pengunjung turut disajikan dengan pelbagai aktiviti menarik termasuk jamuan nasi kandar bergerak, pandu uji kenderaan, servis kenderaan, pertandingan teka buah durian serta persembahan menarik yang berlangsung sepanjang program.

-RI

Tinggalkan komen anda