
Laporan/foto: Shahrul Ammar /Hafizuddin Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 20 Jul (MalaysiaAktif) – Program Gotong-Royong dan Plogging “719 Go Green” berjaya menghimpunkan penduduk Taman Desa, pelajar sekolah serta sukarelawan pelbagai lapisan usia di Taman Desa Recreational Association Park (TDRA), semalam, dalam usaha memupuk kesedaran menjaga kebersihan kawasan kejiranan dan menggalakkan gaya hidup sihat.
Program itu turut disertai Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang memuji semangat kerjasama komuniti dalam memelihara kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Penganjur program, Wong Chan Choy berkata aktiviti plogging bukan sahaja menyihatkan tubuh badan, malah memberi impak besar kepada kebersihan komuniti.
“Setiap sampah yang dikutip membawa makna besar untuk komuniti dan bumi kita,” katanya kepada Malaysia Aktif, sambil menyeru lebih ramai penduduk menyertai inisiatif kelestarian akan datang.
Program berkenaan dianjurkan bersama oleh Yayasan Tzu Chi (Pasukan Komuniti Taman Desa), Persatuan Penduduk Taman Desa (TDRA), Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Sub Zon 1 Seputeh dan Komuniti MADANI Seputeh Zon 1 dengan sokongan Jabatan Penerangan Malaysia WPKLP, PEMADAM, Alam Flora serta SWCorp.
Selain aktiviti mengutip sampah, peserta turut mengikuti pendedahan mengenai pengasingan sisa pepejal dan amalan kitar semula sebelum mengakhiri program dengan sesi ramah mesra bersama komuniti.
-FN





